Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd Nizham Abdullah Hamidi bercakap pada sidang media mengenai pendedahan lantikan beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Yayasan Warisan Batu, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 11 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Benarkah Mesyuarat Lembaga Pengarah Sime Darby Property Berhad membuat keputusan melantik Pengarah Eksekutif Eco World Development Group Berhad, Datuk Voon Tin Yow sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat hartanah mereka yang baharu?

Persoalan itu menarik perhatian Pergerakan Pemuda UMNO Wilayha Persekutuan yang menyifatkan perkembangan itu  jika benar sebagai sesuatu yang sangat membimbangkan.

Ini kerana, menurut Ketuanya, Mohamed Nizham Abdullah Hamid, Sime Darby merupakan platform dalam membantu peniaga dan profesional Melayu untuk bersaing dalam dunia perniagaan.

“Datuk Voon mungkin bukan sahaja tidak dapat menghayati perjuangan ini tetapi beliau juga merupakan sebahagian daripada Eco World yang secara sifatnya sentiasa mengejar keuntungan dan bukannya memberi keutamaan kepada rakyat,” dakwanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohamed Nizham turut mempersoal jumlah pendapatan yang bakal diperolah Voon iaitu sebanyak RM265,000 sekiranya menyandang jawatan tersebut berbanding pemangku Ketua Pegawai Eksekutif sekarang ini, Datuk Wan Hashimi AlBakri Wan Amin Jaffri iaitu sebanyak RM62,000.

Ujarnya, pelantikan Voon turut akan menyebabkan perubahan pada wajah pengurusan kanan Sime Darby Property yang mana  barisan kepimpinan bukan Bumiputera sudah melebihi 60 peratus dan dijangka terus meningkat.

“Kami merasakan ia adalah satu tanggungjawab untuk kes ini diulas secara umum kerana ia melibatkan kepentingan rakyat terutamanya bangsa Melayu yang merupakan bangsa majoriti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamed Nizham berkata, terdapat usaha untuk Ecoworld membeli kepentingan di dalam syarikat hartanah UEM Sunrise yang merupakan satu lagi syrikat GLC berkepentingan tinggi bagi Bumiputera.

Katanya, umum mengetahui bahawa Ecoworld merupakan syarikat swasta yang bukan sahaja tidak pro kepada rakyat tetapi sebuah kapitalis yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

Sementara itu, Mohamed Nizham mendakwa, pihaknya akan mendedahkan sekurang-kurangnya lima hingga enam lagi siri pencabulan ekonomi Bumiputera yang dilakukan oleh kerajaan pada hari ini.

Katanya, semua pendedahan itu akan dibuat secara berperingkat agar rakyat khususnya orang Melayu dapat memahami situasi yang dihadapi negara pada hari ini. – MalaysiaGazette