Latheefa Koya. foto IQBAL BASRI, 22 JULAI 2019

KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan kes pembongkaran aktiviti penjualan MyKad kepada warga China di Pulau Pinang baru-baru ini sekiranya mendapat maklumat yang jelas mengenai kes berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Beebi Koya berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan atau laporan rasmi berhubung perkara itu.

“Kami belum terima apa-apa aduan secara rasmi…jadi kami sedang memerhatikannya, jika benar ada sindiket itu kita akan mulakan siasatan sebab kes berkenaan penjualan kad pengenalan atau kes pengeluaran kad pengenalan palsu bukan satu perkara yang baru.

“Buat masa ini kita belum menerima maklumat secara terus dan kita hanya mendapat maklumat itu melalui laporan berita sahaja,” katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat keatas Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini hari ini, dan turut serta dalam kunjungan hormat itu ialah Pengarah SPRM Sabah Datuk Sazali Salbi.

Latheefa berkata, bagaimanapun SPRM tidak semestinya bergerak hanya atas maklumat rasmi.

“Jika kita dapat maklumat yang jelas (mengenai sesuatu kes) kita akan terus bergerak tanpa aduan.. tetapi cuma kini kita belum ada apa-apa maklumat jelas mengenai kes itu,” katanya.

Dalam operasi khas minggu lalu itu, beberapa kakitangan dan pegawai sebuah jabatan kerajaan di Pulau Pinang termasuk di Putrajaya ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana dipercayai terlibat dengan kes berkenaan.

Di Pulau Pinang, Bernama hari ini melaporkan seorang penolong pengarah di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini esok berhubung dakwaan terbabit dalam sindiket menjual MyKad kepada warga asing di negeri itu. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast