Gambar hiasan.

IPOH – Gara-gara cemburu, seorang isteri sanggup bertindak mengelar kemaluan dan leher suaminya ketika sedang tidur di rumah sewa mereka di Meru di sini, awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Mohamad Nordin Abdullah berkata dalam kejadian kira-kira pukul 12.36 pagi itu, mangsa warga Sri Lanka berumur 40 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kemaluan dan leher.

“Siasatan awal di tempat kejadian menemukan senjata dipercayai pisau yang digunakan dalam kejadian ini. Polis juga sedang giat mengesan suspek iaitu isterinya yang juga warga Sri Lanka.

“Selepas dikelar, mangsa keluar meminta bantuan orang awam. Mangsa berada dalam keadaan stabil dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri di Mess Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia Perak di sini hari ini.

Mohamad Nordin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

— BERNAMA