Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail diiringi Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz (dua kanan) bergambar kenangan bersama penerima replika kunci Chiller Truck pada Majlis Penyerahan Chiller Truck kepada Yayasan Food bank Malaysia dan Pengarah KPDNHEP Negeri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 12 SEPTEMBER 2019

PUTRAJAYA – Penurunan harga barangan tertentu yang dikesan oleh rakyat sejak kebelakangan ini bukannya dipengaruhi faktor boikot barangan bukan Islam atau kempen yang dipergiatkan pihak tertentu di negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya mendapati tidak ada sebarang fakta yang boleh menyokong kepada senario penurunan harga barangan tertentu yang dikesan di pasaran semasa.

“Saya faham katanya minyak masak telah turun harga.. namun turun atau naik harga, ia bergantung kepada kuasa pasaran semasa.

“Kalau sumber utamanya itu harga jatuh maka harga runcit sesebuah barang itu juga jatuh. Ataupun kalau permintaan banyak, jadi ia bergantung kepada permintaan dan penawaran itu prinsip asas ekonomi

“Jadi kita tidak mahu kaitkan dengan boikot, sebab setakat ini tidak ada siapa boleh sahkan (faktor boikot turunkan harga),” katanya kepada pemberita ketika ditanya di lobi kementerian beliau petang tadi.

Terdahulu, beliau menyerahkan 14 unit trak pendingin kepada Yayasan Food Bank Malaysia yang akan menyediakan perkhidmatan logistik pengagihan makanan Food Bank untuk komuniti B40 dan penuntut universiti awam terpilih.

Tambah Saifuddin, setiap trak berkenaan mampu membawa makanan satu tan untuk pengagihan makanan yang disumbangkan pasaraya dan hotel-hotel yang terlibat dalam program Food Bank di seluruh negara sejak setahun lalu.

Malah katanya, sejak Ogos 2018 lalu hingga kini sebanyak 650 tan makanan diterima dan 238,000 orang telah mendapat manfaat melaluinya khususnya B40 dan pelajar kampus yang kurang berkemampuan.

Ditanya mengenai bantuan subsidi petrol bersasar B40, kata Saifuddin, ia akan diumumkan apabila tiba masanya.

“Masih dalam peringkat persiapan, dan kita akan umumkan nanti apabila tiba masanya,” jelas beliau. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast