Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menggesa hukuman yang berat dikenakan kepada pegawai-pegawai kerajaan berpangkat tinggi sekiranya terbukti bersalah berhubung kegiatan menjual MyKad kepada warga asing, China di Pulau Pinang.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, hukuman yang berat itu adalah setimpal untuk memberi pengajaran kepada semua bahawa isu MyKad bukannya remeh sekadar sekeping kad.

Katanya, MyKad adalah lambang kedaulatan negara dan keistimewaan kerakyatan warga Malaysia.

“Sehingga hari ini, dilaporkan penahanan telah dibuat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“SOSMA digubal bertujuan membendung aktiviti seseorang atau kumpulan yang mahu menganggu-gugat atau melemahkan negara, termasuk ancaman rentas sempadan demi mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“Akta ini diluluskan di Parlimen pada 2012 bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Shahir berkata, pihaknya mencadangkan agar kerajaan hari ini tidak menghapuskan akta tersebut sebagaimana hasrat sesetengah pihak yang melobi untuk menghapuskan SOSMA kerana dianggap zalim.

“Hari ini terbukti bahawa SOSMA diperlukan untuk menyiasat kes pengkhianatan negara seperti sindiket MyKad,” ujarnya.

Tambah beliau, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) turut digesa menyiasat salah laku tersebut agar aktiviti rasuah dan salah guna kuasa dapat dibanteras di dalam perkhidmatan awam negara, selari dengan hasrat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Katanya, DPIM menyokong usul RCI yang dicadangkan oleh Dewan Pemuda Pas dan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. – MalaysiaGazette