Robert Mugabe. foto Agensi

HARARE – Bekas presiden Zimbabwe, Robert Mugabe akan dikebumikan minggu depan dalam satu majlis tertutup di lokasi yang tidak didedahkan, kata keluarganya.

Kenyataan itu sekali gus menolak pelawaan kerajaan untuk mengebumikan Mugabe di monumen negera.

Mugabe yang memerintah Zimbabwe selama 37 tahun sehingga disingkirkan oleh tentera pada bulan November 2017, meninggal dunia di Singapura enam hari lalu pada usia 95 tahun.

Mayatnya selamat tiba di Zimbabwe dari Singapura pada hari ini.

Pendirian keluarga Mugabe dilihat sebagai cubaan untuk memalukan Presiden Emmerson Mnangagwa.

Mnangagwa dan parti Zanu-PF yang memerintah mahu Mugabe dikebumikan di monumen kebangsaan sebagai wira perang pembebasan terhadap pemerintahan kulit putih.

Kerajaan telah merancang untuk majlis pengebumian negara pada hari Sabtu dan kemudian dikebumikan pada hari Ahad.

Tetapi beberapa saudara Mugabe telah menolaknya.

Mereka yang berkongsi kepahitan Mugabe apabila bekas sekutu termasuk Mnangagwa berkomplot untuk menjatuhkannya.

Keluarga Mugabe mahu dia dikebumikan di kampung halamannya.

Anak saudara Mugabe, Leo Mugabe berkata, majlis pengebumian itu adalah tertutup tanpa mahu mendedahkan lokasinya.

“Jika saya maklumkan, ia bukan lagi tertutup,” ujarnya. – MalaysiaGazette