Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Satu Mesyuarat Khas Jemaah Menteri bagi membincangkan dasar jangka panjang hala tuju ekonomi negara berasaskan Wawasan Kemakmuran Bersama akan diadakan pada hari Sabtu ini.

Persetujuan itu telah dinyatakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam satu kenyataan di sini.

Wawasan Kemakmuran Bersama telah diumumkan oleh Perdana Menteri semasa pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (KSP RMK-11) pada 18 Oktober 2018 di Parlimen.

Seterusnya, kerangka asas wawasan ini telah dijelaskan oleh Dr Mahathir dalam Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu Kerajaan Pakatan Harapan pada 9 Mei 2019.

Wawasan baharu ini menunjukkan komitmen Kerajaan untuk menstruktur semula ekonomi Malaysia bagi menjamin ianya terus berkembang dengan mampan dan memberikan kesejahteraan kepada semua rakyat.

Hasrat wawasan ini adalah agar seluruh rakyat Malaysia mengecapi taraf hidup wajar menjelang tahun 2030.

Wawasan berkenaan akan merangkumi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13). Bajet tahunan Kerajaan sepanjang RMK-12 dan RMK-13 akan dijajarkan kepada Wawasan Kemakmuran Bersama.

Bajet 2020 yang bakal dibentangkan pada bulan Oktober ini merupakan satu belanjawan persiapan supaya semua pihak dapat bersedia untuk meluru maju apabila inisiatif RMK-12 dimulakan pada tahun 2021.

Tempoh 10 tahun yang disasarkan bagi merealisasikan wawasan ini memerlukan kerjasama strategik dan peranan bukan sahaja kerajaan, tetapi semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan, akademia, pertubuhan bukan kerajaan serta seluruh rakyat Malaysia amnya.

Tambahnya, kerajaan yakin Wawasan Kemakmuran Bersama merupakan harapan dan agenda baharu untuk masa hadapan Malaysia dan menjadi asas kepada penyatuan negara. – MalaysiaGazette