PDRM custodial deaths death lockup police
PDRM

SEREMBAN — Seorang wardar penjara ditahan dalam serbuan Ops Tapis ketika sedang memasak air ketum di tepi rumahnya di Kuala Klawang dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jelebu, DSP Kamarul Rizal Jenal berkata suspek lelaki berusia 36 tahun itu, ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu pukul 11.30 malam.

Katanya serbuan itu dilakukan berdasarkan maklumat orang awam mengenai kegiatan penagihan dadah di lokasi berkenaan.

“Ketika serbuan dilakukan lelaki itu sedang leka memasak air ketum dalam periuk yang boleh memuatkan anggaran 14 liter air di tepi rumahnya.

“Dalam serbuan itu, turut ditemui daun ketum di dalam plastik dengan anggaran seberat satu kilogram,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Kamarul polis kemudiannya merampas periuk, tong gas petroleum cecair (LPG) dan dapur yang digunakan suspek untuk memproses air ketum tersebut.

“Soal siasat awal mendapati suspek memperoleh bekalan daun ketum itu daripada seorang lelaki di Kampung Triang, Jelebu, dengan harga RM50 sekilogram.

“Hasil siasatan suspek mengaku aktif melakukan kegiatan itu sejak tiga bulan lalu, dan menjual dengan harga RM20 sebotol,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

—BERNAMA