Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik beramah mesra dengan kanak-kanak yang hadir pada Program Wacana Ilmu Dekad Membaca Kebangsaan di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 13 SEPTEMBER 2019.

PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Maszlee Malik mengakui wujud unsur sabotaj dalam isu penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).

Ini kerana hanya separuh maklumat sahaja diberikan berhubung objektif dan dasar penggabungan itu kepada umum.

Menurutnya, protes penggabungan itu berlaku disebabkan keseluruhan maklumat berkaitan tidak sampai kepada pelajar dan semua pihak terlibat sehingga membuatkan mereka salah faham.

Paling teruk, katanya, ada beberapa pihak serta rejim kerajaan lama cuba mempolitikkannya.

“Kita dapati terdapat saki baki rejim lama yang telah menggunakan isu ini untuk memberikan modal politik kepada pihak pembangkang terutama UMNO kerana selama ini mereka telah menggunakan universiti-universiti awam ini sebagai pusat politik mereka.

“Ini kita nak ubah dan bertekad untuk memastikan universiti awam kita menjadi pusat rujukan global dalam bidang-bidang tujahan (niche) masing-masing,” katanya selepas Wacana Dekad Membaca Kebangsaan bersama Penjawat Awam di Jabatan Perdana Menteri hari ini.

Tambah Maszlee, langkah penggabungan dua institusi pendidikan itu telah dibincangkan dengan pelajar menerusi perjumpaan pegawai kementerian bersama Lembaga Pengurusan UMT.

Beliau dalam perkembangan berkaitan menyifatkan komen bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mendakwa penggabungan itu bukan satu kebaikan adalah pendapat peribadi pemimpin UMNO itu.

Ditanya rasional di sebalik penggabungan itu, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, pencapaian UMT berbanding universiti awam lain tidak memuaskan sehingga menduduki rangking kedua terbawah sebelum ini selain kebolehpasaran kerja graduan mereka juga kurang sehingga memaksa kerajaan memikirkan kaedah menanganinya.

Justeru katanya, UMT dan Unisza berkongsi tanah selain terdapat kebanyakan kursus yang sama serta profesor yang sama dalam bidang yang sama walaupun entiti berbeza.

“Apabila dibincangkan, kabinet mencadangkan kenapa tidak ia digabungkan kedua-dua institusi ini seperti dilakukan di Norway, Finland, United Kingdom, Australia serta Amerika Syarikat.

“Maka kita telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk membincangkan secara dasar sudut-sudut positif terhadap penggabungan tersebut dan dibawa ke kabinet dan diluluskan secara dasar dan prinsip dengan syarat kita serahkan kepada Jawatankuasa untuk kajian terhadap pengabungan ini.

“Jawatankuasa akan melakukan libat urus dengan semua pemegang taruh dan mereka akan cuba melihat potensi dari sudut pelbagai dan kajian awal peringkat kementerian banyak unsur-unsur positif telah diperolehi,” ujarnya.

Malah katanya, cuma kementerian perlu menguruskan pelan komunikasi dan struktur operasi dan kursus bertindih jika digabungkan.

Menurut Maszlee, kebanyakan kursus di kedua dua universiti berkenaan boleh jadi rujukan peringkat antarabangsa pada hari ini tetapi ia tidak berlaku.

Malah jelas beliau, kursus maritim di UMT disasarkan menjadi pusat sumber rujukan maritim serantau di Asian dan Asia Timur malangnya ia tidak berlaku disebabkan fokus tidak penting dalam bidang lain dan nasib sama berlaku di Unisza.

“Jika penggabungan ini jadi realiti kita ada kursus tujahan yang boleh diperkasakan lagi termasuk maritim dan kita sasarkan kedua-duanya menjadi pusat rujukan antarabangsa dalam bidang bidang tujahan dalam tempoh sasaran lima tahun akan datang.

“Penggabungan ini akan menjadikan universiti bertambah luas dengan bilangan profesor yang ramai dan boleh bertaraf antarabangsa selain lebih bedaya jitu dan kuat,” tegasnya lagi.

Ditanya mengenai dakwaan mengaitkan unsur rasuah dan salah guna kuasa sebagai punca kepada penggabungan UMT, Maszlee bagaimanapun berkata kementeriannya menyerahkan perkara itu  Suruhanjaya pencegahan Rasuah Malaysia.

“Kementerian memberi segala kerjasama kepada SPRM dan mana mana pihak yang menyiasat tentang apa apa korupsi dimana mana universiti contoh katalah berlaku di UMT,” ulasnya.- MalaysiaGazette