Khalid Abdul Samad
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad hadir pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 13 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Penganjur Himpunan Penyatuan Ummah digesa mengambil tindakan terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sekiranya langkah menurunkan gegantung perhimpunan itu bertentangan dengan undang-undang.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menjelaskan, DKBL sendiri telah mengakui bahawa pihak penganjur memohon 1,000 unit gegantung dan bukannya 150 unit seperti mana tercatat dalam surat rasmi DBKL.

“Mereka (DBKL) mengesahkan bahawa UMNO memohon 1,000 gegantung. Lalu saya tanya kenapa surat DBKL kata UMNO memohon 150. Jadi mereka kata tersilap.

“Sekiranya ada apa-apa salah laku di pihak DBKL di mana UMNO mematuhi apa yang telah ditetapkan tetapi ianya tetap diturunkan, maka kita syorkan pihak penganjur ambil tindakan terhadap DBKL kerana kebenaran telah diberi, syarat dipatuhi sekiranya benar.

“Maka tindakan untuk menurunkan gegantung itu adalah tidak wajar dan DBKL kena dipertanggungjawabkan ke atas tindakan sekiranya benar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441H Peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Khalid Abdul Samad
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusoff (kanan) mengatakan sesuatu kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 13 SEPTEMBER 2019.

Semalam media sosial menjadi kecoh apabila Khalid berbalas Twitter dengan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berhubung isu gegantung Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) dirancakkan lagi dengan komen bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Sambil mengambil keratan Twitter Khalid dan dikongsi di laman Facebooknya, Najib turut mengeluarkan komen sinis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam itu.

“Saya tidak pasti sama ada menteri Pakatan Harapan itu seorang pembohong, lembab membaca atau lemah matematik.

“Dia kata permohonan hanya untuk 150 gegantung sahaja, tapi terang-terang surat permohonan adalah untuk 1,000 gegantung,” kata Najib ketika menciap di akaun Twitter miliknya, hari ini.

Khalid juga menegaskan, keputusan untuk menentukan kelulusan pemasangan gegantung itu dilakukan oleh pihak DBKL dan beliau menafikan mengeluarkan sebarang arahan termasuk menurunkan gegantung itu.

“Yang penting sekarang ini ialah kalau ada apa-apa salah laku di pihak DBKL dan ianya bukan atas arahan saya laa kan, seperti mana yang didakwa diturunkan.

“Tiada apa-apa usaha nak halang UMNO atau Pas mahupun mana-mana pihak daripada membuat apa-apa program, asalkan mereka patuh kepada syarat,” katanya.

Dalam pada itu , Khalid juga menyindir Najib yang tidak berterima kasih kepada DBKL kerana tidak mengenakan sebarang bayaran kepada permohonan 1,000 gegantung berkenaan.

“Mengikut surat DBKL itu, sebenarnya yuran lesen pemasangan gegantung itu telah dikecualikan.

“Maka ini tidak pula dinyatakan oleh pihak penganjur, sepatutnya dengan diberikan pengecualian terhadap yuran itu sepatutnya dia (UMNO) berterima kasih, tapi Najib tak pula sebut apa-apa,” katanya.

Katanya lagi, pengecualian yuran lesen pemasangan gegantung oleh DBKL itu juga membuktikan kementerian itu tidak mempunyai niat untuk menghalang perhimpunan yang dianjurkan oleh dua parti Melayu Islam itu.

“Bila dikecualikan itu menunjukkan bahawa tiada niat jahat, perkara yang perlu disebut juga oleh Najib tapi dia tak sebut.

“Dia nak tunjuk supaya kononnya (saya) mengarahkan turun atas kepentingan politik, sebenarnya tidak begitu dan kita pun tiada halangan untuk mereka mengadakan himpunan itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette