Juan Angel Napout

LAUSANNE – Bekas pengurus Persatuan Bolasepak Paraguay, Juan Angel Napout digantung seumur hidup daripada menyertai Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Perkara itu dinyatakan FIFA selepas Napout yang mengetuai Persekutuan Bolasepak Amerika Selatan (Conmebol) dari 2007 hingga 2014 dan Naib Presiden FIFA dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun ekoran terbabit dalam skandal rasuah.

Pada 29 Ogos lalu, Napout didapati bersalah dengan sabitan 42 pertuduhan
menerusi kes yang dirujuk sebagai ‘Fifagate’.

Lantaran itu, Jawatankuasa Etika FIFA membuat keputusan menggantung Napout seumur hidup daripada semua aktiviti bola sepak.

Beliau juga dikenakan denda sebanyak 1 juta Swiss francs (RM4.1 juta).

Pihak berkuasa Amerika Syarikat yang menyiasat kes rasuah berkenaan pada 2015 menemui bukti bahawa puluhan juta dolar dibayar oleh syarikat promosi bola sepak kepada beberapa pengurus persekutuan bola sepak di Amerika Selatan.

Bayaran itu dibuat bagi mendapatkan hak penyiaran dan promosi Kejohanan Copa America dan Copa Libertadores bagi musim 2012 hingga 2015. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast