Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan segera bagi menyiasat pemberian kewarganegaraan (MyKad) yang diragui kaedahnya.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, keperluan menubuhkan RCI itu bagi menjernihkan segala polemik yang kini terus menular dalam masyarakat berkenaan pemberian MyKad.

Menurutnya, penubuhan RCI itu turut bersandarkan kepada beberapa asas dan tujuan kerana dikhuatiri aktiviti ini sudah berjalan lama dan melibatkan bilangan MyKad yang jauh lebih banyak.

“Dengan kedudukan tinggi pegawai yang ditahan, adalah tidak munasabah kes itu hanya melibatkan lebih enam keping MyKad dan bernilai RM350,000 sahaja.

“Aktiviti yang berlaku di Pulau Pinang ini lebih penting untuk disiasat oleh sebuah badan bebas seperti RCI dengan lebih mendalam kerana sudah lama berlegar dakwaan bahawa Kerajaan DAP Pulau Pinang telah dan sedang berusaha menambah pengundi Cina bagi mengukuhkan kedudukan di negeri yang dikuasainya itu.

“Skop tugas RCI ini juga antara lain perlu mengenalpasti dalang-dalang sebenar di sebalik pemberian atau penjualan MyKad kepada warga China, mengenalpasti bilangan sebenar mereka yang telah menerima kewarganegaraan secara sewenang-wenangnya dan mengenalpasti impak kepada demografi penduduk dan pengundi di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya.

Asyraf menambah, Pergerakan Pemuda UMNO memandang serius isu-isu berkaitan pemberian kewarganegaraan kerana Kementerian Dalam Negeri (KDN) begitu pantas menafikannya apabila pihaknya menimbulkan isu pemberian kewarganegaraan  yang longgar dan melalui saluran belakang pada 23 Julai lalu.

Begitu juga, katanya, apabila tular pelbagai berita mengenai desas-desus aktiviti penjualan MyKad kepada warga China di negara ini, cepat sekali Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikannya.

“Ternyata kebimbangan yang dicetuskan ada asasnya apabila media mendedahkan penahanan pegawai tinggi JPN Pulau Pinang oleh pihak polis susulan pembongkaran aktiviti penjualan MyKad kepada warga China di Pulau Pinang.

“Ini sekaligus membuktikan penafian KDN dan JPN sebelum ini boleh disanggah dan menjadikan integriti mereka boleh dipersoalkan.

“Ingatlah kewarganegaraan Malaysia merupakan anugerah tertinggi negara dan tidak wajar diberikan secara sewenang-wenang melainkan kepada mereka yang benar-benar layak di sisi Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Negara!” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast