Sebahagian peserta hadir pada Himpunan Penyatuan Ummah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 13 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Selepas menandatangani piagam, Pas dan UMNO akan ke akar umbi untuk menerangkan kepada ahli-ahli parti masing-masing tentang kepentingan penyatuan kedua-dua parti tersebut.

Ketua Pengarah Ameerah Pas Malaysia, Zuraida Md Noor berkata, sayap wanita kedua-dua parti itu akan membantu barisan kepimpinan untuk memberi penjelasan secara konsisten.

“Selepas piagam ini, kita akan turun ke akar umbi memberi pencerahan penerangan kepada Wanita Pas dan UMNO tentang wajibnya kita bersatu,” katanya di semasa slot Pentas Anak Muda di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Tambahnya lagi penyatuan kedua-dua parti perlu dilihat dengan jiwa yang besar kerana ia demi keperluan perubahan landskap politik yang menguntungkan, selain memperjuangkan bangsa dan Islam, namun tidak akan mengenepikan agama dan kaum lain.

“Kita akan buktikan penyatuan ini dari jiwa yang besar untuk mengangkat memartabatkan Islam agama rasmi demi menjamin keadilan, untuk bangsa yang kita cintai,” katanya lagi.

Hari ini merupakan hari pertama berlangsungnya Himpunan Penyatuan Ummah (HPU14).

Himpunan ini akan menyaksikan Pas dan UMNO menandatangani piagam bersama-sama dengan bermatlamat memperkukuhkan perpaduan umat dan memartabatkan agama Islam di negara ini.

Piagam bakal ditandatangani oleh Presiden kedua-dua parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.-MalaysiaGazette