Muhyiddin Mohd Yassin

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa termasuk Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dalam siasatan kes penjualan MyKad dan sijil lahir kepada warga asing.

Menteri Dalam Negeri itu yangv menyifatkan perbuatan tersebut mengkhianati negara berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat secara langsung atau bersubahat dalam perkara itu.

“Kementerian Dalam Negeri bertanggungjawab ke atas proses permohonan kad pengenalan diri di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Kelmarin, seorang Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang dan lima individu termasuk seorang bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Sesyen di George Town atas 32 pertuduhan berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan secara tidak sah kepada warga asing.

Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang Mohd Faizul Arifin, 34, bersama empat lelaki Loh Chan Cheong, 34; Chien Guan Chai, 36; Yap Cheng Wah, 43, dan Mohd Faizal Tan Abdullah, 66, masing-masing didakwa atas dua pertuduhan utama mengikut Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 manakala ahli perniagaan Datuk Lai Chin Wah, 56, dituduh atas tiga pertuduhan utama mengikut seksyen yang sama.

Menurut Muhyiddin, proses permohonan sedia ada adalah jelas dan semua permohonan yang lengkap akan diproses secara adil.

Berikutan itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk mengikut proses tersebut dan tidak sama sekali cuba untuk mendapatkan apa jua jenis dokumen melalui saluran yang tidak betul. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast