Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bergambar bersama barisan kepimpinan UMNO dan PAS pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 14 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Pas menolak tuduhan kononnya kerjasama politik menerusi penyatuan Ummah yang dimeterai melalui piagam dengan UMNO hari ini menjadikan gabungan itu rasis dan menolak kaum lain.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, jika UMNO dan Pas mengamalkan sikap perkauman, bangsa lain tidak akan boleh hidup bersama di negara ini.

“Tanamkan sifat sayangkan bangsa sendiri dan selamatkan semua bangsa bersama Islam.

“Ini bukannya perkauman, kerana kalaulah kita ini bersifat perkauman (rasis) sudah lama bangsa lain tidak boleh hidup bersama kita.

“Maka Pas dan UMNO tetap menerima kehadiran bersama kaum lain dalam landskap politik negara kita dengan acuan Islam yang menerima masyarakat majmuk yang dipimpin oleh Melayu Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Penyatuan Ummah di Dewan Merdeka, PWTC di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata, bukti Pas tidak mengamalkan sikap rasis terhadap bangsa lain ialah apabila parti itu mempunyai keahlian daripada bukan Islam menerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas termasuk gabungan Gagasan Sejahtera.

“UMNO juga terus menjalin hubungan dengan parti berasaskan kaum lain seperti MCA dan MIC.

“Ini adalah titik persamaan di antara dua parti Melayu Islam yang boleh menerima siapa sahaja yang bersama konsep ini. Kita juga bersama menentang siapa sahaja yang mahu merosakkan negara ini yang tidak mahu mengikut acuan kita.

“Kepada rakyat berbagai kaum dan etnik di Sabah dan Sarawak, marilah kita memelihara perpaduan yang sedia terjalin dan menolak sebarang pendekatan ekstrem yang boleh memecahkan penyatuan ini.

“Kita beriltizam untuk meningkatkan taraf hidup peribumi Sabah dan Sarawak serta menyeru semua pihak untuk memperkukuhkan komitmen terhadap Perjanjian Malaysia 1963 dengan memperbaiki segala kelemahan sepanjang pelaksanaannya, ke arah menguatkan Persekutuan dan merapatkan jurang perbezaan yang wujud selama ini,” ujarnya.

Dalam pada itu Abdul Hadi turut menyeru agar rakyat semua kaum menyuburkan sistem demokrasi.

Seruan itu juga sebagai langkah menghalang campur tangan asing terhadap perubahan negara kita.

“Biarlah kita sendiri yang membuat perubahan. Maka potongkan tangan-tangan yang melambai ‘makhluk asing’ untuk mengacau negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette