Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Himpunan Perpaduan Ummah yang dimeterai hari ini telah menimbulkan rasa resah gelisah dalam kalangan sebahagian rakyat dan pemimpin tertentu.

Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa berkata, mereka yang iri hati dan dengki itu telah cuba menimbulkan himpunan berkenaan dengan pelbagai hinaan dan cercaan negatif.

“Wahai umat Islam dan orang Melayu yang cintakan penyatuan ummah, pesan kepada golongan itu, himpunan ini adalah himpunan rakyat yang cintakan keamanan.

“Himpunan ini adalah himpunan rakyat yang mahukan penyatuan dan perpaduan. Maka golongan terbabit tidak perlu risau dan tidak ada siapa yang boleh menewaskan kami kecuali dengan izin Allah,” katanya ketika berucap pada Himpunan Penyatuan Ummah di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Menurut Annuar, kerjasama penyatuan ummah UMNO dan Pas dimeterai berpaksikan tuntutan ajaran al-Quran dan Islam yang sangat mengutamakan perpaduan, bertolong-tolongan, berkasih sayang sesama manusia tanpa mengira kaum agama dan warna kulit.

Beliau memuji Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mempamerkan semangat politik yang tinggi hingga perpaduan ummah dan piagam taawun ini menjadi kenyataan serta dan mencipta sejarah tersendiri dalam arena politik negara.

“Kami mengucapkan tahniah kepada pemimpin semua peringkat seluruh negara yang telah bangkit dengan bersemangat membentuk suatu gelombang penyatuan ummah yang kian membesar dan membesar hingga nanti menjadi tsunami politik yang bakal mengubah landskap negara,” katanya. – MalaysiaGazette