Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA – Menteri-menteri bertemu hari ini pada mesyuarat khas Kabinet bagi membincangkan dasar jangka panjang hala tuju ekonomi negara berasaskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030.

Kenderaan rasmi menteri-menteri Kabinet dilihat memasuki perkarangan Perdana Putra secara berperingkat bermula pukul 9 pagi.

Mesyuarat khas itu dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan dijadual bermula pada 9.30 pagi.

Mesyuarat Kabinet kebiasaannya diadakan pada setiap Rabu.

Mesyuarat khas Kabinet pernah diadakan pada hari kelepasan am sebelum ini iaitu mengenai peluang pekerjaan pada cuti Hari Pekerja, 1 Mei dan isu lambakan pekerja asing pada cuti Hari Nuzul Al-Quran, 22 Mei lepas.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Wawasan Kemakmuran Bersama merupakan harapan dan agenda baharu untuk masa depan Malaysia yang menjadi asas kepada penyatuan negara.

Wawasan itu menggariskan hasrat agar seluruh rakyat Malaysia mengecapi taraf hidup wajar menjelang 2030.

Ia juga merangkumi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), di mana bajet tahunan kerajaan sepanjang RMK12 dan RMK13 akan dijajarkan kepada Wawasan Kemakmuran Bersama.

Menurut kenyataan kementerian itu, wawasan baharu itu juga menunjukkan komitmen kerajaan untuk menstruktur semula ekonomi Malaysia bagi menjamin ia terus berkembang dengan mampan dan memberikan kesejahteraan kepada semua rakyat. – Bernama