KUALA LUMPUR – Sesi persekolahan di daerah Tangkak, Johor disaran ditangguhkan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kekal melebihi 200.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Negeri, Tan Chen Choon berkata, bacaan IPU di Tangkak kini mencatat tahap 206.

Katanya, kerajaan negeri akan bertindak mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan bagi menangani situasi di daerah berkenaan.

“Selari dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, saya menyarankan agar sesi persekolahan di daerah Tangkak ditangguhkan sekiranya bacaan IPU kekal melebihi 200.

“Pihak Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah diminta untuk mengikuti rapat pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mendapatkan makluman terkini bacaan IPU di daerah Tangkak,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam pada masa sama, Tan berkata, JAS sedang mempergiatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap sebarang aduan dan gejala yang menjadi potensi dan punca membolehkan keadaan udara bertambah teruk.

“Saya menyeru orang awam supaya mengambil langkah penjagaan diri dengan mengurangkan aktiviti luar dan memakai topeng muka apabila perlu berada di luar.

“Rujuk juga klinik kesihatan bagi mendapatkan pemeriksaan sekiranya terkesan dengan kualiti udara setempat selain memastikan badan anda kekal hidrasi dengan bekalan air yang mencukupi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast