Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (dua kiri) berbual sesuatu dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (dua kanan) pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 14 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Atas dasar kekeluargaan dalam penyatuan Pas-UMNO, parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan memanggil pemimpin UMNO untuk menyertai dua kerajaan negeri yang dikuasai parti itu.

Hadi berkata, ia sememangnya dalam perancangan setelah Pas-UMNO memeterai piagam antara kedua-dua parti, hari ini.

“Memang ada rancangan untuk bawa UMNO sertai kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu. Itu dalam keluarga kami,” kata Hadi sambil disambut senyuman Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, menurut Hadi, ia memerlukan masa untuk dilaksanakan dan melihat kepada perkembangan semasa.

Hadi berkata, beliau teruja untuk berucap dihadapan ahli Pas dan UMNO.

“Saya sudah tentulah paling gembira kerana selama ini saya berucap di kalangan yang dipenuhi oleh orang Pas.

“Hari ni campur Pas dan UMNO dan semua pihak. Bukan Pas dan UMNO saja termasuklah kalangan ilmuwan, tokoh-tokoh masyarakat, pesara-pesara pegawai kerajaan, termasuk bekas hakim,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid selalu Presiden UMNO berkata, penyatuan kedua-dua parti akan lebih mudah dan elok daripada kerjasama Pas dengan DAP dahulu.

“Bila Pas bersama DAP, ia lebih rumit daripada penyatuan bersama UMNO. Ini kerana kami kongsi pendirian yang sama dan kita juga bekerjasama dengan isu negara dan saya boleh katakan kerjasama ini lebih mudah berbanding dengan kerjasama dengan DAP,” katanya dalam sidang media sama bersama Hadi.

Ditanya mengenai penerimaan parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MIC dan MCA, Ahmad Zahid berkata, satu mesyuarat akan dimuktamadkan oleh Majlis Tertinggi BN, dalam masa terdekat.

“Kita akan muktamadkan di mesyuarat Majlis Tertinggi nanti,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Alhamdulillah setelah sekian lama terasing Dan saling menjeling cuma kini bertaut erat,berpakat bermuafakat, bersatu menuju matlamat yg satu…Demi untuk Agama ,Bangsa,Negara Dan bersama meneraju kuasa ….Insha Allah kelak nanti segala nya akan melahirkan sebuah kerajaan yg hebat Dan cemerlang…

Comments are closed.