Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap kepada media pada Kejohanan The Putrajaya Boat Race 2019 di Kelab Tasik Putrajaya, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 15 SEPTEMBER 2019

PUTRAJAYA – Walaupun bernada bimbang namun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berasakan situasi jerebu di Kuala Lumpur masih lagi dalam keadaan baik ketika.

Malah dalam nada bergurau, kata Tun Mahathir beliau sempat mengadakan aktiviti luar seperti menunggang kuda pagi tadi sambil mengenakan topeng muka.

“Keadaan di KL masih lagi elok ketika ini, saya sendiri telah pergi menunggang kuda pagi tadi mengenakan topeng muka. Saya pakai topeng muka pun supaya orang tidak kenal saya,” katanya sambil ketawa.

Sambung Tun Mahathir pada masa ini beliau belum mengutus sebarang surat rasmi kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo berhubung isu jerebu rentas sempadan yang berlaku ketika ini.

Jelasnya, memandangkan Indonesia sebelum ini mendakwa jerebu yang berlaku disebabkan oleh Malaysia, justeru, negara ini perlu mencari bukti.

“Sebenarnya saya belum lagi menulis surat kepada Jokowi.  Perlu tengok bukti terlebih dulu kerana Indonesia jerebu datang dari Malaysia. Jadi kita kena pastikan sama ada datang dari Malaysia atau tidak,”ujarnya.

Kata Tun Mahathir lagi, beliau sememangnya mempunyai pelan jangka masa panjang bagi menangani jerebu sejak dulu lagi namun pada masa sama memerlukan kerjasama dari negara lain bukan sahaja Indonesia.

Sebelum ini, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata Dr. Mahathir akan menulis surat rasmi kepada Joko Widodo berhubung isu jerebu rentas sempadan yang semakin meruncing. –MalaysiaGazette