Keadaan motorsikal yang musnah terbakar.
KUALA LUMPUR – Kebakaran melibatkan tujuh buah motosikal pelbagai jenis di sebuah pangsapuri di Jalan Klang Lama, di sini, awal pagi tadi bukan disebabkan perbuatan khianat, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

Beliau berkata hasil siasatan di tempat kejadian mendapati kesemua motosikal pelbagai jenis itu terbakar kerana berada dalam kedudukan yang terlalu rapat antara satu sama lain.

“Pihak bomba telah menjalankan siasatan dan mendapati ia tiada sebarang unsur-unsur khianat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mazlan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki di pangsapuri itu, pada 2.38 pagi tadi dan kebakaran berjaya dipadamkan oleh pihak bomba.

Mazlan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini untuk menghubungi pegawai penyiasat kanan ASP Rozymi Mohd Alwi di talian 010-225 8252 atau Insp V. Yoges Kumar di talian 019-619 2726, serta hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 9999 atau balai polis berhampiran.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur ketika dihubungi Bernama berkata punca kebakaran berkenaan masih dalam siasatan.

“Kebakaran berlaku di tempat letak motosikal dan anggaran kemusnahan adalah 100 peratus musnah manakala api dapat dikawal pada 2.53 pagi tadi serta padam sepenuhnya pada 3.10 pagi tadi,” katanya.

— BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.