Dr Maszlee Malik
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik bercakap kepada media pada My Digital Maker Fair 2019 di MITEC, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 15 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia komited untuk memastikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) bukan lagi pilihan kelas kedua kepada pelajar sebelum melanjutkan pengajian lebih tinggi di negara ini.

Menterinya, Dr Maszlee Malik sebaliknya berkata, pihaknya akan mengangkat kedudukan TVET lebih tinggi dan menjadi pendidikan utama kepada masa depan dunia.

“Saya boleh beri jaminan bahawa masa depan TVET di Malaysia agak cerah dan kita juga menyeru lebih ramai pelajar terlibat dengan TVET sebab pendidikan ini bukanlah pilihan terakhir ataupun bukan pilihan kelas kedua.

“Pilihan TVET juga merupakan sebahagian daripada pilihan arus perdana dan itulah masa depan dunia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan My Digital Maker Fair 2019 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Dr Maszlee Malik
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik (kiri) ketika melawat pameran pada My Digital Maker Fair 2019 di MITEC, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 15 SEPTEMBER 2019

Maszlee juga berkata, kementeriannya bermula tahun ini sedang bekerjasama dengan pemain industri dalam menjayakan TVET yang kini banyak diberi penekanan oleh kerajaan.

“Kita tahu dalam RMK12, RMK11 2.5 dan dalam Bajet 2019 serta Bajet 2020 akan datang banyak penekanan diberikan kepada TVET.

“Sekarang ini pihak industri telah bekerja rapat dengan KPM. Kalau dulu kita membicarakan tentang mengambil industri sebagai rakan.

“Sekarang ini industri terlibat sama-sama di dalam mencorakkan TVET.

“Kita ingin pastikan bahawa perjalanan masa depan TVET kita adalah mencontohi sistem di Jerman dan mereka pun telah memberi banyak kerjasama dengan kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast