Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dilihat sedang membuat panggilan ketika hadir untuk memberi kenyataan mengenai pendakwah kontroversi, Dr. Zakir Naik di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 16 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago tiba di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pukul 10.45 pagi tadi untuk disiasat berhubung kenyataannya mengenai pendakwah bebas, Dr Zakir Naik.

Charles yang hadir berkemeja biru dan seluar jeans sempat bertemu dengan sekumpulan penyokongnya sekitar 20 orang di luar perkarangan Bukit Aman, beliau juga tampak tenang dan ceria.

Antara lain yang hadir menyokong beliau termasuk Ahli Majlis Tempatan Kuala Selangor, Mohan Ramasamy, Nalan Muniandy, aktivis, Rama Ramanathan dan juga peguam John Fam dari S N Fam & Co.

Pemimpin DAP itu juga bercakap dengan sekumpulan pegamal media yang telah sampai sejak 9.30 pagi tadi namun enggan memberi apa-apa ulasan terlebih dahulu sebaliknya berjanjikan akan memberikan perincian soal siasat itu selepas selesai.

“Kita tunggu habis soal siasat ini, baru menarik untuk saya komen apa-apa. Tunggu ya,” katanya.

Wakil rakyat itu merupakan salah seorang daripada lima individu yang dinamakan oleh Dr Zakir Naik dalam laporan polis yang dibuatnya baru-baru ini.

Empat yang lain ialah Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M Satees; Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy dan bekas duta Malaysia, Datuk Dennis Ignatius.

Dalam laporan yang ditulis sendiri oleh Zakir, beliau turut menyenaraikan beberapa pautan laporan berkaitan dakwaan semua individu berkenaan.

Zakir juga mendakwa, laporan itu dibuat bagi meminta polis menyiasat semua individu berkenaan mengikut Akta Hasutan 1948 atau mana-mana akta berkaitan fitnah yang dibuat terhadapnya. – MalaysiaGazette