Angkatan Tentera Malaysia

KUALA LUMPUR – Keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada masa kini bukan sekadar mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara, malah berupaya menyumbang kepada keselamatan sejagat, kata Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Beliau berkata perkara itu dibuktikan menerusi penglibatan ATM di seluruh dunia melalui penugasan di bawah payung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Selain itu, ATM juga berada di tahap yang terbaik dan bersedia untuk melaksanakan Misi Bantuan Kemanusiaan dan Peredaan Bencana (Human Assistant and Disaster Relief-HADR) sama ada di dalam atau luar negara.

“Tahap keupayaan ATM bukan sahaja menonjol melalui aset dan kelengkapannya tetapi yang lebih utama adalah keupayaan dan tahap jati diri serta profesionalisme modan insannya,” katanya kepada Bernama sempena Hari ATM ke-86 yang disambut hari ini (16 Sept).

Zulkifli berkata sejak dahulu lagi kualiti modal insan ATM sentiasa berada di tahap terbaik.

Beliau berkata untuk itu, ATM kini memandang isu keselamatan tidak lagi tertumpu kepada ancaman tradisional seperti penyeludupan di sempadan negara, sebaliknya telah berkembang ke bentuk baharu, antaranya terpaksa berdepan dengan ancaman pengganas.

Zulkifli berkata ini memerlukan penggemblengan semua sumber negara yang dikoordinasikan di peringkat nasional seperti Majlis Keselamatan Negara untuk menghadapi ancaman dengan lebih efektif.

Mengenai persiapan sambutan Hari ATM, beliau berkata pelbagai acara telah dirangka bagi mengisi sambutan itu yang akan diadakan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak.

“Walaupun Hari ATM jatuh pada Hari Malaysia (16 Sept) setiap tahun, sambutan kali ini ditunda pada 27 Sept ini yang diadakan di Padang Kawad KD Pelandok di Pangkalan TLDM Lumut.

“Sebelum ini, setiap tahun Hari ATM disambut pada Hari Malaysia di Lembah Klang tetapi tahun ini ATM mahu kelainan iaitu disambut di Lumut,” katanya.

Selain itu, turut diadakan ialah Hari Terbuka ATM 2019 di Jeti Operasi Pangkalan TLDM Lumut pada 28 dan 29 Sept ini.

“Pelbagai acara akan diadakan sempena Hari Terbuka ATM yang memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan persembahan hebat antaranya melibatkan demonstrasi ketenteraan, pameran aset tentera, promosi kerja ATM dan lain-lain lagi,” katanya.

Ditanya mengenai fokus Kertas Putih Pertahanan (KPP), Zulkifli berkata KPP antaranya ia merangkumi analisis terhadap perspektif strategik serantau serta cabaran isu keselamatan tradisional dan bukan tradisional dalam melindungi kepentingan negara.

Beliau berkata analisis itu akan menjadi asas bagi Kementerian Pertahanan untuk mengenal pasti strategi pertahanan yang bersesuaian dan melihat semula susun atur ketumbukan ATM serta aset yang diperlukan berdasarkan kepada kedudukan kewangan negara.

Kertas Putih Pertahanan bakal dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini,

— BERNAMA