Sebahagian peserta tidak melepas peluang berjoget lambat pada Program Keretapi Sarong 2019 sempena Hari Malaysia di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 16 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Joget lambak merupakan tarian rakyat yang telah diterima oleh semua lapisan masyarakat negara ini, namun ia semakin hilang ditelan zaman.

Hari ini joget yang diiringi irama klasik itu kembali dihidupkan lebih 5,000 peserta program Keretapi Sarong 2019 di Dataran Merdeka.

Suasana riang ria terserlah dengan berkemundangnya irama joget lambak dimeriahkan lagi apabila peserta yang memakai kain sarung dan kain pelikat mempamerkan kemahiran menari di hadapan orang ramai.

Sebahagian peserta berpakaian tradisional berjalan pada Program Keretapi Sarong 2019 sempena Hari Malaysia di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 16 SEPTEMBER 2019

Irama klasik pantai timur, muzik Orang Asli, irama etnik Sabah dan Sarawak turut dimainkan sepanjang program ini diadakan.

Program yang bermula jam 10 pagi itu dirasmikan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Cik. -MalaysiaGazette