Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Perpaduan serta keharmonian hidup secara aman dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini wajar dipertahan demi kelangsungan generasi pada masa akan datang.

Peranan itu perlu dimainkan bukan sahaja oleh rakyat, malah, kerajaan wajar menjadi contoh dalam membangunkan komuniti masyarakat kerana jika tidak ia boleh mengakibatkan kegagalan mendirikan masyarakat madani yang mandiri.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, rata-rata warga kota yang ditemui mengharapkan agar Sambutan Hari Malaysia pada hari ini dapat difahami oleh masyarakat dan diterjemah dalam bentuk kehidupan secara damai.

Seorang pekerja swasta, Arif Ayob, 43, berkata, dia sangat berharap agar perpaduan dalam masyarakat dapat dikekalkan tanpa timbul sebarang anasir yang boleh menganggu-gugat kestabilan negara.

Arif Ayob

Bagaimanapun, katanya dia kecewa kerana sejak akhir-akhir ini politik telah menyebabkan berlakunya ketidaktentuan hingga membawa kepada perpecahan dalam masyarakat terutamanya orang Melayu.

“Setiap bangsa mempunyai matlamat yang sama iaitu ingin hidup bersama dan bekerja. Jadi, kita boleh bersama2 maju dalam satu bangsa Malaysia asal kita kena saling menghormati antara satu dengan yang lain.

Norashikin Mat Nor, 43, pula berkata, rakyat perlu menyokong kerajaan yang ada dan bekerjasama bagi membentuk sebuah negara yang progresif.

Ujarnya, kerajaan juga perlu menimbal balik kerjasama yang diberikan oleh rakyat dengan meringkankan mereka menerus penghapusan cukai-cukai yang difikirkan tidak perlu.

“Saya harap ekonomi akan jadi lebih baik, lebih cemerlang untuk masa akan datang.

Nurashikin Mat Nor

“Saya minta agar cukai yang tak perlu tu mohon dihapuskan supaya kita dapat sama-sama berganding bahu membangunkan ekonomi kita,” ujarnya yang merupakan pengurus di sebuah klinik.

Namun, Norashikin mengakui beliau sedih kerana pelbagai perkara membabitkan agama dijadikan isu oleh sesetengah sejak kebelakangan ini.

Perkara sama turut disuarakan oleh Solahuddin Olive Mathew, 34, yang mahu sambutan Hari Malaysia dijadikan sebagai wadah agar rakyat terus berdaya saing demi membawa negara mencapai Wawasan 2020.

Katanya, isu-isu lama yang dibangkitkan oleh sesetangah pihak perlu dibuang jauh-jauh kerana Malaysia kini sedang menuju ke arah negara membangunkan dan maju.

“Apa yang kita mahu adalah maju kedepan. Cerita-cerita lama kita buang, kita nak capai target macam mana kita nak mencapai wawasan 2020. Kita kena cuba kecapi perkara itu,” tambahnya.

Akmal Hasni

Sementara itu, seorang mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Akmal Hasni, 18, berkata, dia mengharapkan agar sambutan Hari Malaysia menjadi pemangkin kepada kerajaan untuk tidak meminggir generasi muda dengan mewujudkan peluang kerajaan yang banyak pada masa hadapan.

Ujarnya, kerajaan bertanggungjawab menyediakan peluang pekerjaan itu kerana jika tidak sambutan Hari Malaysia yang diraikan setiap tahun tidak akan memberi makna jika genersi muda terutama mahasiswa sepertinya terabai.

“Macam kami semua sedang belajar dan akan bekerja kita nak kerajaan sekarang ni usahakan peluang untuk mahasiswa.

Solahuddin Olive Mathew

“Mahasiswa juga kena kompetetif untuk menjadi seorang pekerja yang bagus serta mempunyai matlamat mmebina sebuah negara maju,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast