Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Semua sekolah di daerah Muar, Tangkak dan Pontian yang ditutup semalam berikutan status udara yang sangat tidak sihat akan dibuka semula seperti biasa esok.

Pengarah Pendidikan Johor, Azman Adnan berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) terkini di lapan stesen di Johor yang menunjukkan trend penurun yang banyak iaitu di bawah 200.

“Bagaimanapun, bagi daerah yang status IPU masih pada paras lebih 100, aktiviti luar bilik darjah perlu ditangguhkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sabtu lalu, sesi persekolahan bagi kira-kira 3000 sekolah di Muar, Tangkak dan Pontian diarahkan tutup pada Ahad berikutan IPU di kawasan berkenaan yang mencecah bacaan melebihi 208 iaitu sangat tidak sihat.

Difahamkan, penutupan sesi persekolahan itu adalah berdasarkan pekeliling Kementerian Pendidikan dan garis panduan menangani jerebu kebangsaan serta atas nasihat dan perbincangan dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor serta Pejabat Daerah Muar dan Tangkak dan Pontian. – MalaysiaGazette