Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal dan Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) menggesa syarikat-syarikat penerbangan memberi kelonggaran kepada pekerja untuk memakai topeng muka N95 ketika jerebu.

Menurut sekretariatnya, mereka dimaklumkan terdapat syarikat penerbangan yang masih tidak memberi kelonggaran kepada pekerjanya memakai topeng muka semasa jerebu bagi menjaga imej pemakaian seragam.

“Itu adalah satu tindakan yang tidak masuk akal oleh mana-mana syarikat penerbangan yang tidak melihat pentingnya untuk  pekerja mereka memakai topeng muka.

“Kesatuan menyarankan mana-mana pekerja membuat laporan kepada kesatuan atau jabatan buruh jika pihak majikan mengambil tindakan atas sebab mamakai topeng muka di tempat kerja semasa situasi jerebu ini.

“Kami menerima aduan bahawa syarikat penerbangan ini telah mengeluarkan satu memo kepada pekerja kru kabin menyatakan pekerja tidak perlu memakai topeng bagi mengikut polisi syarikat.

“Ini bukan masalah imej, ini adalah masalah kesihatan dan kebajikan pekerja. Apabila pekerja itu pula sakit dan mengalami masalah kesihatan, siapa pula yang hendak tanggung?” soal NUFAM dalam kenyataan yang sama.

Tambahnya, pemakaian topeng muka ketika berada di luar dan di kawasan pakir zon lapangan terbang adalah satu keperluan terutama apabila indeks kualiti udara berada di tahap tidak sihat atau merbahaya.-MalaysiaGazette