Najib Razak

KUALA LUMPUR – Nilai mata wang ringgit terus menurun meskipun harga minyak dunia melonjak pada paras tertinggi hampir 30 tahun susulan serangan di loji pemprosesan minyak utama Arab Saudi Sabtu lalu.

Sedangkan, kata Datuk Seri Najib Razak, kebiasaannya harga minyak dunia naik, ringgit juga akan meningkat.

Lantaran itu, ramai juga yang meramalkan ringgit akan naik seperti yang sering berlaku sebelum PRU14 akibat kenaikan harga minyak dunia.

“Malangnya ianya tidak berlaku hari ini. Walaupun harga minyak dunia melonjak begitu tinggi, nilai ringgit dibuka rendah pagi ini dan ditutup lagi rendah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lantas, bekas Perdana Menteri itu bertanya: Adakah keyakinan pelabur terhadap Malaysia begitu teruk sekali sehingga nilai ringgit terus menurun walaupun harga dunia melonjak naik paling tinggi sejak hampir 30 tahun dahulu?”.

Bernama melaporkan ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini selaras dengan kebanyakan mata wang Asia disebabkan ketegangan di Timur Tengah dan mesyuarat Rizab Persekutuan yang akan datang telah mengurangkan selera untuk risiko.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.1810/1850 berbanding dolar US daripada 4.1630/1660 yang direkodkan pada Jumaat lepas.

Ringgit dibuka susut kepada 4.1710/1750 pada jam 9 pagi tadi berbanding dolar AS daripada 4.1630/1660 pada Jumaat. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.