Pakar Perunding Mata Hospital Shah Alam, Dr. Nor Fariza Ngah bercakap kepada media selepas hadir pada Pelancaran Hari Keselamatan Pesakit Sedunia Yang Pertama dan Seminar Keselamatan Pesakit di Hotel Everly, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 17 SEPTEMBER 2019.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan berkata berlaku peningkatan kes rawatan mata (konjukntivitis) sebanyak 30 peratus kesan daripada jerebu teruk yang melanda negara kini.

Menurut Ketua Perkhidmatan Oftalmologi Kementerian Kesihatan, Dr Nor Fariza Ngah, trend itu dilihat berlaku di 42 hospital kerajaan seluruh negara.

Malah ada hospital yang menghadapi peningkatan kes sekali ganda daripada biasa ekoran masalah jerebu.

“Kita dapati peningkatan 20 hingga 30 peratus pesakit di klinik mata kerajaan bagi mendapatkan rawatan mata akibat jerebu.

“Contoh bagi Hospital Shah Alam sahaja, beza bulan lalu dan bulan ini, kes berganda daripada 40 kes kepada 80 kes sehari yang datang dengan masalah konjunktivitis

“Tapi kami sentiasa bersedia dengan keadaan ini kerana tahu masalah ini berlaku setiap tahun,” katanya kepada media selepas mengiringi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad melancarkan program Hari Keselamatan Pesakit Sedunia Yang Pertama di Hotel Everly, hari ini.

Antara simptom-simptom yang dihadapi pesakit konjukntivitis adalah seperti sakit mata, seperti mata gatal dan mata kering.

“Selalunya pesakit mengalami gejala mata kering dan mereka akan membeli ubatan sendiri, namun apabila masalah berlarutan sehingga mata mengalami gatal dan kemerahan baru mereka akan datang rujuk kepada klinik mata kerajaan,” katanya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bercakap pada sidang media selepas hadir pada Pelancaran Hari Keselamatan Pesakit Sedunia Yang Pertama dan Seminar Keselamatan Pesakit di Hotel Everly, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 17 SEPTEMBER 2019.

Justeru itu rakyat di negara ini dinasihatkan agar tidak melakukan aktiviti luar rumah seperti berjoging, bersiar-siar ataupun melakukan aktiviti riadah bagi mengurangkan risiko penyakit konjukntivitis.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, pihak kementerian akan meningkatkan siap siaga di pihaknya dalam menangani peningkatan mendadak penyakit disebabkan oleh jerebu.

“Selain itu dari semasa ke semasa Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah akan memberi kenyataan berkaitan jerebu termasuk di laman Facebooknya,” katanya. -MalaysiaGazette