Saksi yang merupakan bekas Pegawai Khas Bekas Perdana Menteri, Amhari Efendi Nazaruddin hadir untuk perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 10 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan yang kini dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low didakwa pernah mencadangkan nama-nama besar yang ‘tidak masuk akal’ untuk dilantik sebagai pemegang amanah Yayasan Lembaga Pelaburan Terengganu.

Mahkamah Tinggi hari ini dikejutkan dengan nama-nama seperti Permaisuri Jordan, Ratu Rania Al Abdullah; Pengerusi dan Ketua Eksekutif jenama terkenal dunia, Louis Vuitton, Bernard Arnault, penyanyi kumpulan U2, Bono dan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika sesi soal balas pada perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendedahkan nama-nama itu telah dicadangkan oleh Jho Low ketika mesyuarat Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) sekitar Mac 2009.

Ketika menyoal saksi ke-8, Datuk Amhari Efendi Nazruddin yang juga merupakan bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Shafee Abdullah turut bertanya seandainya perkara itu telah diketahui olehnya.

Kata Shafee, nama-nama itu keluar daripada mulut Jho Low ketika bermesyuarat dengan Amhari dan arwah Datuk Azlin Alias yang merupakan Ketua Setiausaha Sulit Najib di Hotel Prince, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Amhari hanya mendedahkan dirinya tahu tentang cadangan nama Bernard Arnault sahaja namun mendakwa tidak pernah langsung bertanya dengan lebih lanjut kepada Jho Low.

Shafee: Nama-nama ini telah dicadangkan oleh Jho Low bagi memastikan kerajaan persekutuan dan negeri ‘kagum’ dengan dirinya. Tetapi cadangan itu tidak pernah menjadi realiti.

Amhari: Saya tidak tahu.

Shafee: Saya juga ingin cadangkan nama-nama terkenal ini langsung tidak tahu mereka telah disebut seperti ini.

Amhari: Saya tidak tahu.

Shafee: Pernahkah kamu cuba dapatkan maklumat lanjut, saya pasti kamu sendiri terkejut apabila nama-nama dipetik seperti itu bukan?

Amhari: Saya cuma ingat Bernard Arnault sahaja. Saya juga tidak tanya lanjut.

Shafee: Pernah terfikir seandainya nama-nama ini disebut oleh Jho Low untuk menipu? Nama seperti Bernard Arnault?

Amhari: Tidak.

Terdahulu, saksi juga memberitahu Jho Low dijemput untuk menghadiri mesyuarat TIA untuk membincangkan mengenai cadangan pengeluaran bon untuk syarikat itu.

Dalam dokumen Minit Mesyuarat yang dikemukakan Shafee, Amhari dan bekas Setiausaha 1MDB, Lim Poh Seng turut hadir selaku sekretariat.

Bekas pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) itu juga mengesahkan cadangan penubuhan TIA dengan dana permulaan sebanyak RM10 bilion adalah untuk menjana pertumbuhan ekonomi yang mapan dan berterusan bagi negeri itu.- MalaysiaGazette