Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya lima buah sekolah swasta di Selangor ditutup susulan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada paras sangat tidak sihat sehingga hari ini.

Dalam satu kenyataan Kementerian Pendidikan memaklumkan, sekolah terbabit ialah Straits International School, Rawang; Tenbi International School Setia Ecohill, Semenyih dan Tanarata International School di Kajang.

Turut ditutup ialah Cempaka International School Cheras dan King Henry VIII School di Cyberjaya.

“Penutupan itu membabitkan 1,843 murid secara keseluruhannya,” demikian menurut kenyataan itu.

Selain Selangor, empat sekolah swasta di Kuala Lumpur turut ditutup antaranya Sri Utama School, Garden International School dan Eaton International School.

Sementara di Putrajaya pula sekolah yang ditutup ialah International Modern Arabic School dan Nexus International School, di Negeri Sembilan pula hanya satu sekolah swasta ditutup.

Terdahulu, laporan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) bagi kawasan Johan Setia, Klang didapati semakin meningkat iaitu 238 sehingga 12 tengahari ini.

Sementara bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Klang pula semakin membimbangkan iaitu pada paras 197 menghampiri tahap udara sangat tidak sihat.

Kuala Selangor pula 191, Banting mencatatkan bacaan 183, Shah Alam 173 dan Petaling Jaya 163, sekaligus mencatatkan kualiti udara tidak sihat. – MalaysiaGazette