WASHINGTON – Meskipun Iran sudah membuat penafian, Presiden Donald Trump masih percaya Iran menjadi dalang kepada serangan di loji minyak Arab Saudi.

Serangan ke atas loji itu telah menyebabkan lonjakan ke atas harga minyak dan mencetuskan peningkatan konflik di Asia Barat.

Hubungan Amerika Syarikat dan Iran semakin merosot sejak Trump menarik semula perjanjian nuklear 2015 tahun lalu dan melaksanakan semula sekatan ke atas Tehran.

Washington meletakkan tekanan ke atas Tehran untuk mengakhiri program nuklear dan peluru berpandu serta sokongan ke atas tentera proksi di Yaman, di mana Arab Saudi telah melancarkan serangan ke atas Houthi yang disokong Iran selama empat tahun.

Trump berkata, Amerika Syarikat masih menyiasat sekiranya Iran berada di sebalik serangan tersebut.

“Ia kelihatan seperti itu pada saat ini,” kata Presiden Amerika Syarikat itu.

Bagaimanapun, kata Trump: “Saya merupakan seorang yang tidak suka berperang”.

Beberapa ahli Kabinet Amerika Syarikat termasuk Setiausaha Negara, Mike Pompeo dan Setiausaha Tenaga, Rick Perry turut menunding jari kepada Tehran.

Pompeo akan ke Arab Saudi tidak lama lagi, kata Trump.

Presiden Iran, Hassan Rouhani berkata, serangan itu dilakukan oleh “orang-orang Yaman” yang membalas serangan serangan oleh gabungan ketenteraan yang diterajui Arab Saudi yang berperang dengan Houthi.

“Orang Yaman mengamalkan hak pembelaan mereka yang sah,” kata Rouhani kepada pemberita semasa lawatan ke Ankara.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Abbas Mousavi pula menyifatkan tuduhan Amerika Syarikat itu sebagai “tidak dapat diterima dan tidak berasas sepenuhnya.”

Serangan itu menyebabkan pengeluaran minyak mentah dunia dikurangkan kepada 5%.

Harga minyak melonjak sebanyak 19% selepas insiden tetapi kemudiannya turun dari puncak mereka. Lonjakan antara hari itu adalah yang terbesar sejak krisis Teluk 1990-91 ke atas pencerobohan Iraq terhadap Kuwait. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast