Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah bercakap pada sidang media selepas Majlis Pertukaran Program Bola Keranjang Malaysia-China di Wisma MABA, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Wisma Putra telah menghubungi secara rasmi kerajaan Indonesia berhubung keadaan jerebu yang semakin teruk melanda negara ini.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, hasil makluman itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok untuk mendapatkan keputusan mengenai langkah yang akan diambil bagi mengatasi masalah tersebut.

Beliau berkata, langkah seterusnya diserahkan kepada Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin untuk mencari kaedah terbaik agar keadaan jerebu tidak semakin teruk.

“Dari segi hubungan diplomatik antara Malaysia, Indonesia sangat kuat dan kukuh walaupun berlaku jerebu di negara ini.

“Kita sama-sama mencari formula dan kaedah terbaik agar ia dapat diatasi dalam tempoh terdekat ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Malaysia-China Basketball Exchange dan sesi penyerahan bendera Malaysia kepada pasukan wanita kebangsaan Malaysia di Wisma MABA, di sini, hari ini.

Menurut laporan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) sejak malam tadi sehingga jam 10 pagi ini, kawasan Johan Setia di Klang didapati semakin meningkat dari 222 kepada 235.

Sementara bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Klang pula semakin membimbangkan iaitu pada paras 196 menghampiri tahap udara sangat tidak sihat.

Kuala Selangor dan Banting mencatatkan bacaan 181, Shah Alam (173) dan Petaling Jaya (163), sekaligus mencatatkan kualiti udara tidak sihat.

Terdahulu, sebanyak 145 sekolah di daerah Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Petaling Perdana ditutup hari ini ekoran keadaan jerebu yang semakin serius.

Penutupan sekolah itu membabitkan 23 sekolah di Sepang, 36 (Hulu Langat), 21 (Kuala Langat), 27 (Klang) dan 38 sekolah di Petaling Perdana.

Seramai 187,928 pelajar terbabit dalam penutupan sekolah berkenaan dan pentadbir sekolah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa

Menurut Saifuddin, beliau tidak boleh mengulas lanjut mengenai keadaan itu keadaan itu kerana bukan dalam bidang kuasa kementeriannya.

“Semuanya akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok,” katanya. – MalaysiaGazette