Presiden Pertubuhan Bangkit, Shahrin Azlan bergambar bersama laporan selepas menyerahkan Laporan Siasatan Forensik sebuah video intim mirip Menteri Kabinet di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 18 SEPTEMBER 2019.

PUTRAJAYA – Pertubuhan Bangkit hari ini mempersoalkan keengganan pejabat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menerima laporan siasatan pakar forensik mengenai video seks di luar tabii mirip menteri Kabinet.

Presidennya, Shahrin Azlan kesal kerana kehadirannya tidak dialu-alukan bukan sahaja Zuraida bahkan pegawai-pegawai di pejabat menteri berkenaan sedangkan beliau hanya mahu menyerahkan dokumen semata-mata.

“Adakah menteri ini takut? Adakah menteri ini terlibat sama, saya tak faham, saya tak tahu kenapa.

“Saya seorang rakyat Malaysia yang inginkan kebenaran, nak serahkan kepada menteri kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya beliau dapat dinasihati oleh YB Zuraida.

“Tapi kenapa YB Zuraida, seorang pegawai pun tak nak terima. Adakah saya buat ini salah? Saya rasa tak salah, saya hanya menyerahkan saja (dokumen),” katanya pada sidang media di luar pekarangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” di sini, hari ini.

Shahrin juga melahirkan rasa kesal apabila Setiausaha Politik kepada menteri berkenaan, Nor Hizwan Ahmad cuba menghalang usaha beliau untuk menghantar laporan itu hari ini.

“Saya teramat kecewa dengan pegawai pejabat menteri KPKT hari ini kerana satu mesej yang dikeluarkan pagi tadi menyatakan bahawa pemberian laporan siasatan pakar forensik hari ini adalah tidak benar. Itu adalah satu pembohongan.

“Saya berada di depan bangunan KPKT sekarang ini, dan saya cakap beberapa hari lepas, saya tak akan berhenti dan hari ini saya serahkan.

“Kenapa benda ini keluarkan menyatakan ia tidak benar, serahan ini betul sedangkan malam tadi sehingga lewat malam saya menyatakan hasrat kami untuk menyerahkan laporan forensik kepada menteri,” katanya.

Shahrin turut mempersoalkan tindakan pejabat Zuraida itu yang seolah-olah tidak boleh menerima kebenaran di sebalik laporan siasatan pakar forensik dari United Kingdom.

“Adakah anda takut? Adakah YB takut terima, adakah YB dengan kebenaran yang ada? Adakah laporan siasatan forensik ini menipu? Saya rasa tidak.

“Lebih 90 peratus laporan siasatan forensik ini adalah benar, 10 peratus lagi orang yang buat laporan forensik ini akan turun ke Malaysia sekiranya dipanggil,” katanya. – MalaysiaGazette