Kaunter bagasi di KLIA, Sepang.

KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines menerima aduan tertinggi daripada pengguna iaitu sebanyak 413 bagi tempoh 1 Januari 2019 hingga 30 Jun 2019.

Bagaimanapun, ini merupakan penurunan jumlah aduan berbanding dengan 427 aduan yang diterima oleh syarikat penerbangan tersebut bagi tempoh yang sama pada tahun 2018, kata Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Penerima aduan kedua tertinggi ialah AirAsia dengan 183 aduan diikuti oleh Malindo Air dengan 103 aduan.

Ia merupakan Laporan Pengguna Mavcom edisi keenam bagi tempoh separuh tahun pertama 2019.

Menurutnya, AirAsia mencatatkan penurunan sebanyak 4.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya, manakala Malindo Air mencatat penurunan sebanyak 13.4 peratus.

Bagasi hilang, rosak dan lewat, pemprosesan bayaran balik dan tempahan dalam talian adalah tiga kategori aduan teratas yang mencatat jumlah keseluruhan aduan sebanyak 48.2 peratus.

Sebaliknya, kategori aduan yang dikemukakan terhadap lapangan terbang ialah mengenai kemudahan yang disediakan di lapangan terbang, keselamatan lapangan terbang, dan perkhidmatan pengguna.

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, dengan laporan ini, pihaknya berharap pemain industri penerbangan peka terhadap maklum balas yang diberikan oleh pengguna dan berusaha untuk menyumbang ke arah pengalaman yang lebih positif bagi pengguna. – MalaysiaGazette