Abdul Hamid Bador

PUTRAJAYA – Polis mengesahkan belum membuat sebarang tangkapan terhadap mana-mana berhubung aktiviti pembakaran terbuka.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi membendung kegiatan tersebut sekiranya diminta berbuat demikian.

“Belum ada tangkapan lagi. Kami akan mengambil tindakan jika terdapat bukti jelas mereka melanggar undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ketika ditemui pihak media selepas Majlis Pelancaran Kerangka Kerja Dasar Luar Malaysia Baharu oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di sini hari ini.

Pada 11 September lalu, JAS mengeluarkan larangan pembakaran terbuka berkuasa serta merta sehingga Monsun Barat Daya berakhir.

Larangan itu dikecualikan terhadap pembakaran mayat, pembakaran bagi tujuan keagamaan, aktiviti barbeku dan pembakaran gas mudah terbakar.

Mereka yang melanggar perintah itu boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette