Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas satu pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, pada 2016.
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes rasuah RM1 juta yang dihadapi bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan bermula esok di Mahkamah Tinggi di sini dengan pihak pendakwaan bersedia dengan empat atau lima saksi.

Mengikut senarai kes di mahkamah, perbicaraan kes itu akan didengar di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 9 pagi esok dan Jumaat.

Pihak pendakwaan ketika ditanya mengenai kes itu memberitahu pihaknya akan memanggil empat atau lima saksi untuk memberi keterangan esok.

Pada 15 Nov lepas, Tengku Adnan, 69, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan, iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya (Tengku Adnan).

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai upah untuk meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) bagi menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Dis 2013.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 9 Ogos lepas, Hakim Mohd Nazlan membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes rasuah Tengku Adnan dan Tan dibicarakan bersama.

Bagaimanapun semalam Tan, 71, didenda RM1.5 juta oleh mahkamah sama selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan bersubahat dalam perlakuan salah oleh Tengku Adnan yang menerima untuk dirinya wang tunai RM1 juta, di tempat dan tarikh sama.

Tengku Adnan juga menghadapi pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong dan pihak pendakwaan telah menutup kesnya selepas 12 hari perbicaraan dengan 23 saksi dipanggil memberi keterangan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang mendengar perbicaraan itu menetapkan 4 dan 11 Okt depan untuk kedua-dua pihak berhujah.

— BERNAMA