PUTRAJAYA – Sehingga pagi tadi, hanya enam titik panas direkodkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat berbanding 12 titik panas semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Hamdan Wahid berkata, titik panas itu dikesan di Sarawak, Johor dan beberapa kawasan di Selangor dan Perak.

“Tiga titik panas itu sudah dalam kawalan dan tiga lagi titik panas operasi diteruskan. Operasi akan menggunakan kaedah total flooding (banjir penuh) terutama sekali pada tanah gambut dan kita buat fire break (pemutus api) dan water bombing iaitu khidmat intervensi udara JBPM dan juga bantuan APMM dengan bombardier,” selepas ditemui media dalam Majlis Penyerahan Kenderaan Pacuan Empat Roda dan Motosikal kepada JBPM hari ini.

Ditanya mengenai perkembangan di Sri Aman, Hamdan berkata, pihaknya percaya jumlah indeks pencemaran udara (IPU) yang tinggi adalah disebabkan aktiviti manusia.

“Jerebu (di Sarawak) disumbangkan oleh kebakaran hutan di Indonesia iaitu Kalimantan sebanyak 850 – 860 titik panas yang dapat dilihat melalui National Arsenic Administration dan di bawah Pusat Khas Meteorologi,” katanya lagi.

Malah beliau turut berkata lebih kurang 600 titik panas turut dikesan di Sumatera, Indonesia.

Hamdan turut ditanya sama ada cuti pegawai bomba akan dibekukan ekoran fenomena jerebu, beliau berkata, pembekuan cuti akan dibuat mengikut keperluan negeri masing-masing.

“Sebenarnya cuti anggota bomba di beberapa negeri telah kita catukan terutama sekali negeri yang mengalami kebakaran terbuka yang banyak seperti Sarawak.

“Pada masa yang sama juga kita memastikan anggota di negeri-negeri yang berdekatan dalam keadaan siap siaga untuk membantu negeri yang mungkin tidak mencukupi kakitangan dia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette