Sebahagian para jemaah menunaikan solat sunat istiqa yang diimamkan oleh Ustaz Amru Alhaz Adnan berikutan masalah jerebu yang melanda beberapa kawasan di Malaysia pada masa kini di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Jika minggu lepas beberapa buah masjid di Lembah Klang sahaja diseru mengadakan solat sunat Istisqa selepas solat Jumaat namun esok semua masjid di negara ini diminta mengadakannya kerana ancaman jerebu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, setiap umat Islam perlu berdoa supaya segala masalah dan musibah dikurangkan.

“Oleh itu, saya menyeru semua masjid mengadakan solat sunat Istisqa bagi memohon hujan dan mengurangkan jerebu. Semoga Allah memelihara negara ini daripada jerebu serta bencana yang tidak diingini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beberapa negeri di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak merekodkan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) daripada sederhana kepada tahap sangat tidak sihat iaitu 200 sehingga menyebabkan sebanyak 1,484 sekolah di tujuh negeri diarahkan tutup hari ini.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast