MAVCOM
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menerima sebanyak 810 aduan bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun tahun ini.

Ini merupakan pengurangan sebanyak 5.6 peratus dari 858 aduan yang dilaporkan untuk tempoh setengah tahun pertama 2018.

Daripada 810 aduan berkenaan, 798 aduan dibuat terhadap syarikat penerbangan, manakala 12 aduan dibuat terhadap lapangan terbang, menurut  Laporan Pengguna Mavcom bagi tempoh separuh pertama tahun ini.

Menurutnya, daripada aduan-aduan yang diterima, Mavcom telah berjaya menyelesaikan dan menutup 99.3 peratus daripada aduan-aduan berkenaan, yang mana penyumbang terbesar aduan berkenaan adalah terhadap Malaysia Airlines, diikuti AirAsia dan Malindo Air.

Suruhanjaya juga telah menerima sebanyak 646 aduan di mana aduan tidak dapat dinilai dengan betul dan adil oleh sebab penyerahan dokumen yang tidak lengkap oleh pengguna, 20 aduan tindakan lanjut tidak diambil oleh suruhanjaya disebabkan syarikat penerbangan atau lapangan terbang telah memberi penyelesaian yang adil dan selaras dengan keperluan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC).

Manakala sebanyak 68 aduan yang dibuat lebih daripada setahun dari tarikh kejadian, di luar skop MACPC atau tidak berkaitan dengan industri penerbangan.

Laporan ini juga menunjukkan 54 peratus aduan yang diterima dalam tempoh tersebut melibatkan keputusan syarikat penerbangan untuk menukar penyelesaian awal yang diberi, kepada keputusan yang kemudiannya berpihak kepada pengguna.

Ini memberi penyelesaian yang lebih adil atau memuaskan kepada pengguna berbanding keputusan awal yang diberi.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Dr. Nungsari Ahmad Radhi berkata, pengurangan jumlah aduan adalah suatu kemajuan kerana ia mencerminkan perkhidmatan baik yang telah diterima oleh pengguna oleh penyedia perkhidmatan penerbangan.

Menurutnya, Laporan Pengguna merupakan suatu inisiatif Mavcom membuat semakan dan penganalisaan bagi mendapatkan maklum balas dari pengguna mengenai tahap perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat penerbangan
dan pengendali lapangan terbang. – MalaysiaGazette