Gambar hiasan
BENTONG – Selepas Kesatuan Eropah melabelkan minyak sawit Malaysia sebagai tidak mesra alam kerana membabitkan penerokaan hutan, kini pengeluaran kayu getah juga dipertikaikan aktivis alam sekitar global.
Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Wong Tack berkata, golongan berkenaan antaranya mensyaki sama ada pengeluaran kayu getah turut melibatkan penebangan hutan asli.
Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan gerakan hijau telah menjadi trend dalam ekonomi global.
Menurutnya, secara jangka panjang, ia dikhuatiri akan memberi impak kepada pergolakan harga hasil industri utama negara.
“Remaja 16 tahun dari Sweden iaitu Greta Thunberg telah mengadakan tunjuk perasaan jalanan untuk meningkatkan kesedaran tentang alam sekitar.
“Golongan orang muda ini mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap isu alam sekitar dan mereka akan menjadi tunjang ekonomi dunia dalam 10 tahun akan datang,” katanya seperti dipetik Sinchew Daily semasa menghadiri satu program di Bentong, Pahang.
Wong Teck yang juga Ahli Parlimen Bentong berkata, keadaan itu juga mengingatkan semua pihak bahawa cara perniagaan tradisional yang kurang sensitif  terhadap isu alam sekitar akan menjejaskan sambutan dunia terhadap produk Malaysia.
“Semasa berniaga, usahawan Malaysia harus mempunyai kesedaran tentang isu alam sekitar untuk memastikan perniagaan mereka mampan,” katanya. – MalaysiaGazette