Pemandangan sekitar Menara Tun Razak Exchange (TRX) yang terjejas akibat jerebu. -foto IQBAL BASRI.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan diminta memberi perhatian kepada mahasiswa dan komuniti di universiti yang turut terkesan dengan masalah jerebu yang melanda negara.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berkata, ia memandangkan ada universiti berada di lokasi yang terjejas teruk dengan kadar bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang makin meningkat.

Perkembangan terkini keadaan jerebu yang melanda negara telah bertambah buruk dengan bacaan IPU di banyak lokasi di seluruh negara berada dalam keadaan yang tidak sihat dan berbahaya.

Penolong Setiausaha Agung PKPIM, Ahmad Farhan Rosli berkata, berdasarkan laporan portal Jabatan Alam Sekitar, setakat jam 10 pagi ini dilaporkan sebanyak 24 stesen mencatatkan bacaan sederhana, 35 stesen mencatatkan bacaan tidak sihat dan 8 stesen mencatatkan bacaan sangat tidak sihat.

Dalam perkembangan berkaitan, laporan terkini media, sehingga jam 5 petang Rabu, sebanyak 648 buah sekolah di empat buah negeri (Selangor, Negeri Sembilan, Sarawak, Putrajaya) telah ditutup sebagai langkah-langkah berjaga.

Jumlah dijangka bertambah berdasarkan beberapa langkah terkini yang diambil Jabatan Pendidikan Perak dan tambahan penutupan sekolah di negeri Selangor.

Dalam masa yang sama, para mahasiswa diseru mematuhi garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi masalah jerebu yang sedang melanda negara ketika ini. – MalaysiaGazette