KUALA LUMPUR – ‘Norhizam kalau tidak faham undang-undang lebih baik diam!

“Jangan lebih sudu daripada kuah,” ujar Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin.

Itu amaran Timbalan Menteri Industri Utama menerusi ciapan Twitternya hari ini kepada Exco kerajaan Melaka, Norhizam Hassan Baktee ekoran isu kemelut barisan kepimpinan Majlis Pengakap Negeri Melaka.

Shamsul Iskandar dalam masa yang sama memuatnaik laporan berita MelakaKini bertajuk ‘Jangan ganggu kepimpinan Pengakap Melaka 2019-2020 – Norhizam’ hari ini.

 

Dalam laporan itu, Norhizam tidak mahu barisan kepimpinan pengakap negeri yang dterajuinya sebagai pengerusi diganggu kerana telah dipilih secara sah pada April lepas.

Malah wakil rakyat DAP itu dilaporkan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap barisan kepimpinan pengakap negeri sebelum ini sekiranya masih membuat gangguan dan gagal memenuhi tuntutan dibuat pihaknya.

Pengerusi Pengakap Melaka, Norhizam Hassan Baktee (tiga dari kiri) di Kem Pengakap Negeri Melaka hari ini.-pix MelakaKini.

Menurutnya, pihaknya telah menuntut Pentadbir Pengakap Melaka Tahun 2018 dan sebelumnya mengembalikan segala harta dan peralatan milik Pengakap Melaka kepada Pentadbir Pengakap Melaka Tahun 2019.

“Antara harta dan peralatan berkenaan termasuklah surat hakmilik tanah, perjanjian jual beli bangunan, buku cek, laporan kewangan bulanan dan mesin,” katanya kepada pemberita di Kem Pengakap Negeri Melaka hari ini.

Norhizam menyangkal laporan sebuah akhbar tempatan pada 14 September lepas yang menyatakan Shamsul Iskandar sebagai Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Melaka.

Beliau berkata, mesyuarat agung yang diadakan pada 10 November tahun lepas yang memilih Shamsul Iskandar sebagai Pengerusi dianggap tidak sah oleh Persekutuan Pengakap Malaysia kerana tidak mematuhi prosedur organisasi dan peraturan (POR) Persekutuan Pengakap dan undang-undang kecil Majlis Pengakap Negeri.

Shamsul Iskandar telah memfailkan permohonan Perintah Injunksi Ex-parte bagi menghalang mesyuarat agung tersebut pada April lepas daripada diadakan.

“Namun Mahkamah Tinggi Melaka menolak permohonan tersebut dan membenarkan Pentadbir Pengakap Melaka 2019 mengadakan mesyuarat agung berkenaan,” kata Norhizam.- MalaysiaGazette