Mahfuz Omar

PUTRAJAYA – Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar mengharapkan ta’awun antara Pas dan UMNO boleh bertahan lama.

Dalam masa sama beliau dengan nada sinis mengucapkan selamat pengantin baharu kepada gabungan itu yang kini sah menjalinkan hubungan kerjasama.

“Orang kalau kahwin satu lagi, dia akan nafi bila isteri pertama tanya. Bila saya (sebagai Ahli Pas dahulu) tanya, pemimpin Pas nafi. Jadi hari ini apa yang pernah saya sebut sebelum ini ia adalah perkara yang sahih.

“Kami ibarat isteri pertama, suami (Pas) tak beritahu sebab takut. Nanti piring terbang atau mogok tak mahu masak.

“Hari ini mereka sudah sebut bahawa penyatuan dan perkahwinan tersebut. Bagi saya, saya doakan mereka supaya bahagia,” katanya selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (KKP) 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kerjasama politik yang dipanggil ta’awun antara Pas-UMNO.

Kedua-dua parti itu memeterai Piagam Muafakat Nasional minggu lalu dalam mengukuhkan hubungan antara mereka.

Mengulas lanjut, Timbalan Menteri Sumber Manusia itu berkata, beliau hairan bagaimana Pas boleh bekerjasama dengan UMNO sedangkan kedua-dua parti saling bercakaran sesama sendiri sebelum ini.

“Saya agak hairan mengapa Pas memilih UMNO dan BN yang telah ditolak oleh rakyat pada PRU14 lalu.

“Ini bukan satu penyatuan ummah seperti mana yang diwar-warkan tapi lebih kepada soal kerjasama politik. Kalau penyatuan ummah sudah tentu melihat kepada aspek yang lain. Tapi bila aspek untuk merebut kuasa, ini menunjukkan bahawa mereka lebih tertumpu kepada aspek yang berkaitan dengan merampas kuasa daripada Pakatan Harapan pada PRU akan datang.

“Saya tidak fikir masyarakat dan rakyat mahu mengembalikan kepimpinan kleptokarat dan parti itu untuk kembali berkuasa dalam negara kita,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, Pas akan hanya dilihat sebagai tongkat bagi menjulang kembali UMNO yang pernah ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), Mei tahun lalu.

“Dulu Pas tuduh Amanah talian hayat kepada UMNO. Tapi hari ini ternyata bahawa yang jadi talian hayat atau tongkat untuk julang kembali UMNO adalah Pas,” katanya lagi. -MalaysiaGazette