Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan bercadang untuk memberikan peruntukan tambahan untuk Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 dalam belanjawan tahun depan.

Sehubungan itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, para peniaga dan pengusaha sektor pelancongan di seluruh negara dapat memberikan cadangan kepada Kumpulan Fokus dan Portal Belanjawan 2020.

“Kerajaan Persekutuan bercadang untuk memberikan peruntukan tambahan untuk Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 dan berharap agar para peniaga dan pengusaha sektor pelancongan di seluruh negara khususnya di Negeri Sabah dapat memberikan cadangan yang baik kepada saya,” katanya pada sesi Kumpulan Fokus di Kota Kinabalu semalam.

Menurutnya, secara keseluruhannya, sektor pelancongan telah menyumbang sebanyak 15% kepada ekonomi negara dengan nilai sebanyak RM84 bilion pada tahun 2018, berbanding RM82.2 bilion pada tahun 2017.

Mengikut perangkaan Tourism Malaysia, ketibaan pelancong bagi tahun 2018 berjumlah 25.8 juta dan bagi separuh tahun pertama 2019 telahpun mencecah 13.3 juta pelancong.

Guan Eng berkata, bagi menyokong usaha negeri mempergiatkan aktiviti pelancongan, kerajaan telah bersetuju untuk menyumbang balik kepada kerajaan negeri 50% daripada kutipan cukai pelancongan di negeri masing-masing dalam belanjawan tahun lalu. – MalaysiaGazette