Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (2) yang ditutup harini kerana terjejas akibat jerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 184 API yang dipaparkan di laman sesawang apims.doe.gov.my sekitar jam 1 petang ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di sekitar Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 17 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pengurusan Bantuan dan Bencara Negeri Selangor mengarahkan semua sekolah awam dan swasta di negeri itu ditutup selama dua hari bermula esok.

Menurut kenyataan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, arahan itu dikeluarkan setelah mengambil kira tahap pendedahan jerebu yang berpanjangan yang boleh menyebabkan masalah sistem respiratori dan keselamatan pelajar.

“Pihak Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Pejabat Pendidikan Daerah hendaklah memaklumkan kepada sekolah-sekolah dan ibubapa di kawasan masing-masing akan penutupan ini dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, tindakan tersebut diambil berikutan cuaca jerebu di semua daerah di negeri tersebut selain kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia semalam yang memaklumkan keadaan berjerebu akan berterusan sehingga minggu hadapan dengan semua stesen pemantauan kualiti udara menunjukkan bacaan tidak sihat dan sangat tidak sihat.

Tambah kenyataan itu, penutupan sementara sekolah akibat cuaca jerebu ini adalah untuk memastikan tahap kesihatan murid tidak terjejas.

Katanya, kerajaan negeri Selangor sentiasa memantau perkembangan kualiti udara dan sentiasa berhubung dengan semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah berkaitan tindakan dan langkah-langkah yang perlu diambil ketika negara dilanda bencana jerebu. – MalaysiaGazette