Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd Ariff (kiri) berbincang sesuatu dengan mangsa penipuan selepas perjumpaan dengan wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengenai penipuan jualan langsung Takasimaya dan syarikat kredit Azio di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 18 SEPTEMBER 2019

PUTRAJAYA – Akibat tidak dikawal oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebuah syarikat kredit luar negara didakwa bemaharajalela melakukan ‘kekejaman’ dengan memperdaya mangsa dalam pinjaman kenderaan.

Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif berkata, syarikat kredit itu berdaftar dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Syarikat kredit ini dia memberi pinjaman kereta dan siapa sahaja bila tertunggak (bayaran bulanan), tak sampai dua bulan atau dua bulan setengah atau tiga bulan, mereka akan tarik.

“Peminjam yang hendak mendapatkan kereta balik, banyak alasan diberikan, dia akan kata tunggulah jadual ke-5 (notis 21 hari sebelum kenderaan ditarik) tapi jangan harap.

“Sampai satu ketika kereta itu kebanyakannya telah dilelong,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini.

Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd Ariff. foto SYAFIQ AMBAK, 18 SEPTEMBER 2019.

Terdahulu Rosland bersama lima mangsa penipuan syarikat kredit pinjaman kereta dan syarikat jualan langsung mengadakan pertemuan dengan pegawai pengurusan KPDNHEP.

Rosland juga mendakwa, penyalahgunaan permit untuk memperdaya orang ramai dengan menawarkan kredit mudah pinjaman kereta dan menganiaya peminjam dengan merampas sebelum melelong kereta di bawah harga pasaran.

“Perkara ini berlaku di satu-satunya syarikat di dalam Malaysia yang buat kerja kekejaman ini. Saya pun rasa kesal sangat kerana mereka ini syarikat datang dari luar negara dan bukan syarikat di Malaysia tapi melakukan kekejaman.

“Saya tidak salahkan syarikat tersebut, saya salahkan semua kakitangan mereka yang kurang ajar,” katanya.

Rosland turut memberi gambaran penganiayaan yang dilakukan oleh syarikat kredit dan syarikat jualan langsung kini di luar batasan undang-undang di negara ini.

“Dalam negara ini setiap penganiayaan dilakukan oleh pihak kredit dan jualan langsung sudah terlalu teruk sangat, perlu diambil tindakan segera.

“Orang kita tambah susah kerana tindakan mereka ini, sangat kejam.

“Saya tak salahkan syarikat kredit tersebut, kakitangan mereka tiada disiplin tiada moral melakukan penipuan terhadap pengguna,” dakwa Rosland.

Lebih memeranjatkan, katanya, ada syarikat jualan langsung yang telah menyenaraihitamkan peminjam mereka sedangkan tiada sebarang perjanjian ketika urusan dilakukan.

“Syarikat jualan langsung ini pun sama, tidak ada perjanjian, tidak ada satu pun perjanjian tetapi kebanyakan yang beli ini disenaraihitamkan.

“Saya pun tak faham macam mana boleh disenaraihitamkan sedangkan tiada perjanjian.

“Ini satu isu yang perlu dibangkitkan, macam mana boleh CTOS sedangkan tiada perjanjian dibuat. Ini pun satu isu sangat besar yang perlu diatasi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette