Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Big Blue Taxi sedia untuk menawarkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Terengganu dari segi
infrastruktur untuk pemandu teksi dan penumpang di negeri berkenaan.

Pengasas Big Blue Taxi, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, negeri Terengganu tidak perlu membangunkan aplikasi teksi terbaru kerana ia merupakan satu pembaziran dari segi kewangan.

Sebaliknya, apa yang diperlukan oleh kerajaan negeri Terengganu adalah melakukan kolaborasi kerana terdapat lebih 40 aplikasi e-hailing atau teksi sedia ada di negara ini.

Dengan menggunakan aplikasi yang sedia ada ini, pemandu teksi di Terengganu dapat menjana pendapatan mereka
sendiri.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri juga perlu membantu kolaborasi ini agar rakyat di negeri terbabit dapat menggunakan aplikasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Shamsubahrin membuat pelawaan itu selepas negeri Terengganu bercadang untuk mencopta aplikasi teksi di negeri itu bagi mengimbangi teknologi e-hailing.

Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, aplikasi berkenaan boleh digunakan oleh 1,000 pemandu teksi negeri itu untuk berdaya saing dengan e-hailing lain yang tumbuh bercambah bagaikan cendawan selepas hujan.

Katanya, perancangan kerajaan itu bertujuan untuk bersedia menghadapi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat negeri Terengganu dalam tempoh empat tahun akan datang. – MalaysiaGazette