Seorang pengawal keselamatan menutup pintu pagar Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1) yang ditutup hari ini kerana terjejas akibat jerebu dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 200.

KUALA LUMPUR – Sekolah-sekolah  di Negeri Sembilan dan Perak yang ditutup hari ini kerana jerebu akan dibuka semula dan beroperasi seperti biasa esok.

Kementerian Pendidikan berkata, ini kerana bacaan Indeks
Pencemaran Udara (IPU) di kedua-kedua negeri berkenaan telah menunjukkan pengurangan dari bacaan 200.

“Sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari masa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.

Kementerian Pendidikan turut mengingatkan sekolah agar mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa.

Sementara itu, sebanyak 2,646 buah sekolah di Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Sarawak terus ditutup esok.

Ia membabitkan 1,715,274 pelajar.

Daripada jumlah itu, sebanyak 987 sekolah ditutup di Sarawak diikuti Selangor (939), Pulau Pinang (399), Kuala Lumpur (296) dan Putrajaya (25). – MalaysiaGazette